Aku sebagai rakyat biasa amat terkesan dengan tulisan tajamnya. Tulisan
Saiful Nang memang hebat. Begitu menyeluruh. Sudi baca tanpa berpaksikan akal
politik tapi berasaskan jiwa marhean (rakyat biasa).
Isinya:
Jika saya tinggal di London, New York atau
paling terukpun di Guangzhao, Melbourne jika minyak naik saya tak terasa pun.
Alternatif disediakan untuk saya sampai dari sejauh zon 6 Kota London ke tengah
bandar ataupun ke zon 6 arah berlainan dalam masa kurang 1 jam sekalipun semasa
penyuraian waktu puncak. Apa nak risau jika Tuan Mayor Kota London juga naik
train ke tempat kerja, untuk mesyuarat dengan pelanggan di mana-mana sahaja
juga boleh naik train. Belanja pun tak banyak, guna sahaja kad bulanan mereka itu
boleh sahaja melacak ke seluruh London. Untuk ke Manchester, Nottingham
(seperti kita nak ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu) boleh guna train juga
dengan kekerapan tinggi dan HARGA YANG MURAH (jika nak banding dengan
pendapatan mereka, harga itu memang murah). Ya betul, mereka bayar cukai lebih
tinggi tetapi mereka beri semula kepada rakyat.
Hari ini kita dipaksa untuk telan kenaikan
harga tanpa kerajaan tuntaskan keperluan pengangkutan awam yang sangat parah.
Naik bas pun tidak pasti boleh sampai ke pejabat tepat atau awal dari masa
walaupun ada lorong khusus untuk bas. Saya minat melihat lorong bas di Istanbul
seperti track keretapi yang tidak boleh dilalui kereta. Tak perlu buat landasan
dan tak perlu beli keretapi mahal-mahal. Guna bas sedia ada juga sudah lebih
baik dari membuat projek pelebaran lebuhraya. Sampai kita ada 50 lorong pun
masih tetap tak cukup. Ini akan berbalik kepada soal mana dahulu. Pemimpin kata
rakyat kena dicukai dan dimansuh subsidi supaya kerajaan mampu bina prasarana
pengangkutan awam. Orang awam pula nampak kerajaan bina dahulu dengan modal
sedia ada barulah boleh dinaikkan sumbangan rakyat kepada kerajaan. Namun,
sejauh mana rela rakyat jika pembaziran berlaku di hadapan mata.
Tindakan pentingkan diri juga boleh
disabitkan. Jika hebat pengangkutan awam nanti Proton punya jualan merosot
pula. Dr. M tak akan berdiam diri dalam menjaga kepentingan Proton.
Malaysia sudah diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan yang sudah parah. Dapat
pula ke tangan anak yang lahir atas dulang emas yang tidak pernah merasai
kesusahan rakyat secara realistik dan peribadi. Saya tersinggung semasa
pertemuan bersama beliau dalam satu perbincangan "tehtarik" di Jibby
& Co Subang awal tahun ini, beliau berseloroh tentang isu air dan saya
lihat ia tidak kelakar langsung. Pada keadaan gawat air dengan penggunaannya
bercatu dengan asbab beberapa dari kami bercatu air di rumah sehingga mandipun
nak bercatu, beliau boleh berseloroh "Saya boleh mandi...rumah saya ada
air" (lalu ketawa).
Saya tahu ini pedas untuk Datuk Seri dan saya
juga harap tak perlu nak katakan ini secara umum. Email cadangan
berkajang-kajangpun, yang membacanya bukan dia tetapi ditapis oleh lapisan yang
mungkin lihat ini remeh. Tapi kita lupa, jika suara rakyat ini seperti air.
Jika disekat dia akan melimpah juga sehingga satu ketika limpahan itu akan
meruntuhkan empangan yang dibina selama 57 tahun.
Petronas diajar untuk mengatakan rezab minyak
kita tinggal sedikit, tetapi kerajaan lupa jurutera-jurutera carigali Petronas
ada mulut dan ada Facebook. Mereka boleh bercakap dan mereka selalu bercakap
rezab minyak kita sangat banyak lagi. Sekecil Brunei itu sendiri rezab
minyaknya masih lagi tidak habis-habis dan tidak akan habis sehingga 2030,
mengapa kita boleh fikir rezab kita akan habis pada 2030-an?
Masalah bila orang senang mentadbir, semuanya
mahu dibeli dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai gula-gula yang tidak
mengenyangkan dan tidak juga berkhasiat. Wang tunai ditabur-tabur seperti Ali
Baba Bujang Lapok memberi sedekah di pasar-pasar.
Turunlah Datuk Seri, Turunlah....
Bukan turun meletak jawatan, tetapi sebelum
itu turunlah melihat SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin susah untuk Datuk Seri
tahu sehingga Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan dan perlu berulang alik
dengan kereta sendiri yang berhutang dengan bank dengan kadar faedah bank
konvensional dan "Islamik" tapi menjerut leher. Isi minyak sendiri
dan bayar tol sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal nasi yang dimasak
oleh Datin Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami dengan
sebenar-benarnya.
Secara praktikal, itu mungkin sukar tetapi
kami yakin Datuk Seri boleh turun dan lihat sendiri dan dengar sendiri
kata-kata rakyat tanpa perlu protokol Perdana Menteri yang kadangkala mengarut
dan menjarakkan informasi rakyat kepada Datuk Seri. Jika rakyat tak mampu
sampaikan terus, rakyat akan sampaikan dalam media sosial.
Untuk pengetahuan Datuk Seri, jika Datuk Seri
buat lawatan ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk Seri akan jadikan tempat
sampah nampak macam Hyde Park. Setinggan nampak macam hotel 5 bintang tetapi
setelah Datuk Seri pulang, semuanya dicabut semula dan tinggallah semuanya
dalam keadaan sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga membuat kenyataan
"SYUKURKAH, MALAYSIA SUDAH MAJU".
Apabila minyak naik harga, kesannya tetap
kesan domino. Janganlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(Menteri Ayam) membuat kenyataakn memujuk yang harga barang tidak akan naik.
Saban kali berlaku begitu, harga naik tetap naik. Penguatkuasaan kementeriaan
hanya sekadar seperti seorang bapa menegur anak nakalnya yang panjat-panjat
rumah tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran "Haiiippppp....babab
kangg" dan kemudian sambung bersembang semula.
Dulu semasa saya kecil, saya terpaksa percaya
pada RTM. TV3 masa tu kalau nak dapat siaran pun kena pasang tudung periuk di
antena. Setiap kali nak pilihanraya, Van Kementerian Penerangan akan buat
hebahan WAYANG PACAK di pekan sehari Felda. Ramai-ramai kami berlonggok nak
tengok cerita A.R Badul sambil hampar tikar dan kami juga terpaksa telan kempen
pilihanraya yang main dalam wayang pacak ini. Sekarang surat khabar dan TV
sudah bukan sumber doktrinisasi kerajaan lagi, kami boleh dengar terus dari
suara rakyat di sebelah sana juga sebelah sini tanpa perlu mereka menjadi
pemberita.
Datuk Seri, buanglah darah kerabat dan darah
bangsawan yang ada dalam diri. Bercampurlah dengan marhaen yang sering terpaksa
menelan semua yang disuapkan tanpa rela.
Datuk Seri mungkin lihat, selepas beberapa
bulan rakyat akan senyap kembali dan semuanya berjalan seperti biasa dan Datuk
Seri akan buat kenyataan "Alhamdulillah, Rakyat Malaysia sudah mampu
terima kemajuan".
Boleh naikkan harga minyak, tetapi siapkanlah
sarana pengangkutan awam yang murah dan efisyen serta boleh diharap. Jangan
jadikan KEPERLUAN AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan bekalan air sebagai
satu perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah itu satu khidmat yang
wajib bagi sebuah kerajaan.
Sedarkah Datuk Seri, di sebalik penerimaan
itu bukan kerana kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa mencara jalan survival
kerana sandaran mereka kepada Kerajaan sudah tidak berguna lagi. Nenek tua yang
patut berehat terpaksa menjaja untuk tidak rasa membebankan anak-anaknya yang
menjaga beliau. Berapa ramai anak jadi yatim kerana bapanya maut dalam
kemalangan motorsikal kerana mengantuk membuat kerja tambahan sehingga 20 jam
sehari? Berapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya kerana ibu bapa terpaksa
kerah tenaga bekerja siang dan malam? Berapa ramai anak-anak yang terpaksa
menukar ruji mereka dari nasi kepada bubur lembik dan kangkung? Berapa ramaikan
bapa-bapa marhaen akan dipenjara kerana mencuri susu di pasaraya kerana anak
kecilnya menangis kehabisan susu? Berapa ramaikah adik beradik berbunuhan
kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah suami dan isteri yang bercerai
kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk kekal bersama.
Datuk Seri tak mungkin tahu perkara ini.
Kerana ayah, atuk dan keturunan Datuk Seri ialah orang Bangsawan. Bukan Marhaen
yang melarat. Tidak salah jika saya sarankan Datuk Seri untuk belajar dan
mungkin bekerjasama dengan individu yang memimpin dalam miskin seperti Tuan
Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya yakin, jika tiada sekatan pembangunan dari
kerajaan pusat, saya yakin cara kepimpinan TGNA mampu ubah Kelantan menjadi
negeri termaju.
Bangsawan dengan bangsawan, Marhaen dengan
marhaen. Jika makan berpinggan emas, masakan tahu erti tidur berbumbung langit.
Turunlah ke bawah seperti Khalifah Ummar
lakukan....secara DIAM, sembunyi dan tidak dikenali. Jika turun padang Datuk
Seri dengan rombongan sekapal dan gempita siren-siren polis pengiring, orang
buta pun akan tahu PM yang datang.
Datuk Seri, bukannya marhaen tidak berjimat.
Sudah habis susu anak berganti air sirap kurang gula kami berikan anak-anak
kami yang menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana marhaen sampai sudah
hampir 24 jam bekerja. Jika tidur itu tidak wajib, 24 jam itu marhaen akan
bekerja.
Bertimbang taralah...
Datuk Seri pembuat keputusan tertinggi di
Malaysia. Input kepada percaturan keputusan Datuk Seri ialah informasi yang
diberi. Jika informasi tidak telus, maka keputusan Datuk Seri pun akan jadi
zalim juga.
Pentadbiran Datuk Seri terlampau mahal dan
sesuap makanan Datuk Seri ialah sebaldi peluh marhaen. Bil Elektrik Datuk Seri
setahun boleh menghantar 50 orang anak-anak Marhaen menjadi doktor yang tidak
berhutang dengan PTPTN. Mungkin juga jika benar desas desus akan beg tangan
Datin Seri yang mahal itu, untuk setiap satu beg tangan itu bernilai lebih dari
pendapatan seumur hidup beberapa orang marhaen.
Datuk Seri, tak mengapa jika Wawasan 2020
tidak dicapai pada tahun 2020. Apalah guna jika dicapai tetapi kekayaan negara
tidak dapat dirasai bersama, yang miskin terus tertolak tempatnya dari daratan
negara. Saya bukan mengeluh untuk diri saya, Alhamdulillah saya orang susah
dahulu yang kini sudah senang. Minyak naik banyak kalipun insyaAllah saya masih
mampu tetapi saya cuba mendengar dan memahami marhaen lainnya yang masih
mengira syiling dalam saku untuk beli barang dapur.
Datuk Seri, MALAYSIA BELUM AMAN. MALAYSIA
BELUM MAJU.
//nota tambah : Datuk Seri kalau baca, saya
nak ingatkan haritu ada minta nak jumpa Datuk Seri tanpa pelobi-pelobi projek seperti
di Jibby & Co dulu. Saya bersama sekumpulan marhaen yang sudah buktikan
kebahagian dan kemakmuran negara tidak bermodalkan duit sangat. Datuk Seri
boleh menang majoriti 2/3 pun kalau cepat tahu caranya. Tapi tu lah...kami ni
Marhaen kan, lama dah minta jumpa tak dapat-dapat juga. Saya pun tak suka jadi
keyboard warrior berdegar-degar di laman sosial jika dapat berdepan dan
berhadap.
///saya bukan orang politik. Saya bukan benci
Datuk Seri, bukan juga benci kerajaan dan tidak juga penyokong Anwar Ibrahim
jauh sekali bernadikan PERKASA...tetapi saya menulis sebagai MARHAEN MALAYSIA.
Sumber: Facebook Saiful Nang
No comments:
Post a Comment