Sunday, 8 June 2014

23 Hari Jadi Tukang Basuh


Selesai saja peperiksaan akhir bagi semester 5, aku terus berfikir untuk bekerja mengisi masa lapang yang berbaki 3 minggu. Tak nak la masa yang berharga berlalu begitu sahaja tanpa di isi dengan sesuatu yang bermanfaat. Rugi !

Pada mulanya aku berhajat untuk digajikan oleh Restoren Mohd Chan yang terkenal sekitar Kuala Selangor. Hampir nak pergi temuduga, isteri mencadangkan  untuk balik bekerja di tempat asalnya Gemas, Negeri Sembilan. Kata mentua, kawan ayah perlukan pekerja untuk mengisi kekosongan. Tanpa ragu-ragu, aku kenal siapa kawan pak mentuaku. Mesti tauke Restoren Nasi Ayam Gemas (Nagemas). Tanpa banyak soal, keesokkannya aku pergi jumpa tauke untuk temuduga. Siap saja bersalam dengan ‘boss’ dia terus  tugaskan aku buat bahagian belakang (basuh pinggan).

Mulalah kerja aku sebagai kuli sementara. Kerja di kedai makan biasalah, bila ada pelanggan memang tak sempat nak rehat. Kalau tiada pelanggan memang ‘relax’. Tapi hari yang paling sibuk adalah hari Jumaat dan Ahad kerana faktor cara hidup penduduk sekitar sini.

Banyak yang aku pelajari ketika jadi kuli di sini, selok belok perniagaan, pentingnya tepati masa, kebersihan tempat kerja, dan macam-macam lagi. Memandangkan ‘boss’ aku mempunyai pengalaman besar dalam dunia perniagaan, aku sempat mengambil peluang menyoal serba sdikit tentang perniagaannya. Nasi Ayam Gemas, siapa tidak tahu? Dahulunya ‘boss’ pernah membuka ‘franchise’ di merata tempat bersama rakan kongsinya tapi dia jatuh kerana ditipu. Biasalah perniagaan. Tikam belakang, tikam depan, tikan sana, tikam sini memang dah jadi asam garam.



Restoren tempat aku bekerja dibuka bermula dari 10 pagi dan ditutup operasinya pada 10 malam. Rakan sekerja aku terdiri dari lepasan SPM yang menunggu panggilan dan tawaran dari IPT. Aku bukannya tua sangat cuma lebih tiga empat tahun saja. Jadi, tak jadi masalah untuk aku ‘masuk ke dunia’ mereka.  Aku kerja seperti biasa seperti bertahun-tahun kenal mereka walhal baru sehari dua.

Di restoren ini, aku jumpa seorang pak cik yang rajin membantu mengutip sisa makanan untuk diberikan kepada haiwan-haiwan termasuklah anjing, kucing, burung sampaikan ditanya anjing sahaja lebih 70 ekor (anjing kilang tempatnya bekerja). Pak cik berbangsa India itu akan mengutip dua kali sehari dan aku tertunggu-tunggu beliau untuk datang. Cuba kita fikirkan sejenak, jika orang macam pak cik ini tiada, pasti sisa-sisa makanan susah diselenggara dan bau busuk, lalat akan masuk ke dalam kedai. Aku akan panggil beliau sebagai orang hebat!

Kebersihan amat mustahak bagi mana-mana restoren mahupun premis makanan. Sampaikan aku terlihat gelagat kedai makan lain yang berjiran hampir bergaduh kerana sampah di belakang kedai yang bertentangan. Mujurlah kedua-dua kedai itu berjaya menyelesaikan masalah sampah dengan baik. Kadang-kadang dalam merebut pelanggan janganlah sampai jambatan persaudaraan dirobohkan hanya kerana beberapa isu yang boleh diselesaikan dengan mudah. 

Dalam hidup kita perlu menggembara untuk mencari istilah kehidupan sebenar. Tibalah masa untuk aku menyambung pengajian untuk dua semester terakhir.  

Sekian.

Fakhrul Yaacob
Gemas
08 Jun 2014


No comments:

Post a Comment