Sedar tak sedar bulan Syaaban sudah pun
melabuhkan tirainya tadi setelah azan maghrib dilaungkan. Ini bermakna bulan
yang ditunggu – tunggu oleh semua muslimin dan muslimat iaitu bulan Ramadhan
membuka tirainya. Kini, 1 Ramadhan 1434 hijriah membuka pintu untuk semua yang
beragama Islam mengerjakan ibadah puasa selama sebulan.
Kita sebagai manusia yang selalu melakukan
khilaf (kesilapan) di hari – hari pasti akan memohon taubat dan keampunan dari
Allah s.w.t. Jadi bulan Ramadhan lah bulan yang paling sesuai bagi memohon
keampunan atas dosa – dosa yang lalu tetapi bukan bermakna kita bebas melalukan
dosa pada bulan – bulan yang lain dan bukan juga bulan – bulan lain tidak boleh
memohon keampunan dari Allah.
Kenapa bulan Ramadhan? Atau apa yanga ada di
bulan Ramadhan? 1. Bulan yang penuh Barakah( berkat). 2. Bulan ini pintu Jannah
dibuka dan pintu neraka ditutup. 3. Bulan ini syaitan –syaitan dibelenggu. 4. Bulan
ini ada satu malam yang keutamaan beramal di dalamnya lebih baik daripada
beribu bulan di bulan lain, iaitu malam LAILATUL QADR. 5. Setiap hari pada
bulan ini ada mailakat yang menyeru, menasihati sesiapa yang berbuat baik agar
bergembira dan yang berbuat maksiat agar menahan diri.
Manusia mempunyai penyakit lupa dan perlu
diingati sentiasa. Jadi, bulan Ramadhan adalah sekolah yang baik untuk mengajar
umat Islam supaya kembali ke landasan yang betul untuk terus hidup di muka bumi
sebelum tiba hari kiamat. Ramadhan juga merupakan sekolah di mana mendidik,
membentuk dan membudayakan umat Islam supaya taat pada perintah Allah.
Perut manusia sentiasa penuh dengan makanan
apabila tidak berpuasa. Kadang – kadang sampai nak jalan pun tak larat. Manfaat
berpuasa juga dapat mengembalikan kesihatan yang terbaik. Mana tidak nya,
perokok semestilah tidak boleh merokok dan mengurangkan kekerapan golongan
perokok tegar. Badan kita juga merupakan kilang memproses atau menghadamkan
makanan, apabila kita berpuasa kilang itu dapat berehat dan mengambalikan
kesegaran tubuh.
Pada bulan Ramadhan terdapat juga amalan
sunat yang tiada pada bulan – bulan lain iaitu solat sunat Taraweh. Ganjaran
yang dikurniakan Allah apabila melakukan amalan sunat ini berlipat ganda.
Suasana di Malaysia apabila datang bulan puasa, waktu kerja akan disingkatkan
dari waktu – waktu biasa tapi ini juga tertakluk kepada syarikat swasta yang
memberi perlepasan awal sempena bulan puasa. Contohnya asal balik pukul 5.30
petang akan diawalkan ke 4.30 petang. Dalam pada itu ia dapat mengeratkan
silaturrahim antara ummah yang renggang dek sibuk dengan kerja siang dan malam
apabila berpeluang sama – sama bertaraweh.
Bila sebut pasal taraweh, penulis ingin
mengingatkan kepada diri penulis sendiri dan rakan – rakan supaya tidak hanya
‘hangat – hangat tahi ayam’ bila solat taraweh. Pada pandangan penulis, ramai
sangat makmum yang hadir solat taraweh pada minggu pertama dan kedua bulan
Ramdhan. Sampaikan surau masjid dan pakir kereta tak muat. Jadilah seorang umat
yang konsisten iaitu berterusan dan melakukan ibadah, termasuk juga ibadah lain
yang baik.
Kita digalakkan banyak melakukan amalan –
amalan sampingan lain seperti sedekah, berdoa, tadarus quran, memohon taubat
dan juga amalan sunat yang lain kerana ganjarannya berlipat kali ganda. Selain
itu kita juga digalakkan bangun bertahajud dan berdoa pada malam – malam ganjil
seperti yang diberitahu para ulamak kerana bulan Ramadhan terdapat satu malam
yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam Lailatul Qadr.
Pada hemat penulis., kebanyakkan ibu bapa
sekarang lebih mementingkan puasa sehinggakan diberi ganjaran kiranya dapat
puasa penuh. Persepsi ini perlu diubah kerana amalan solat wajib 5 waktu lebih
penting lagi wajib. Jika solat anak itu dijaga semestinya puasa dijaga tetapi
jika puasa anak itu dijaga tidak semestinya solatnya dijaga. Kata seorang
ulamak, ‘mantapkan yang wajib, kukuhkan yang sunat’.
Buanglah tabiat membazir dan berbelanja
mengikut hawa nafsu. Bawalah duit sedikit ketika kunjung ke bazaar ramadhan
mengikut keperluan sahaja kerana sudah menjadi budaya kita untuk berbelanja di
bazaar sebelum berbuka. Maklumlah pelbagai makanan yang dijual dan pastinya
terliur setelah sehari berpuasa kononnya. Kita juga perlu ingat akan rakyat
yang dilanda konflik seperti negara Mesir, Syiria, Palestin dan negara umat
Islam yang lain.
Seperti lagu Harapan Ramadhan kolaborasi
kumpulan Raihan dengan Man Bai mengingatkan kita bahawa harapan masih ada untuk
kita menceduk, mengumpul dan membolot segala amalan baik pada bulan ini.
Bunuhlah masa kita sebulan ini dengan segala yang bermanfaat bergantung pada
status dan keadaan kita tak kiralah kita ni pelajar, pekerja, suri rumah dan
penggangur. Carilah makna Islam pada bulan Ramadhan ini supaya kita dapat
melangkah hari – hari selepas Ramadhan dengan berkat bulan ini.
Selamat beribadah semua.
1 Ramadhan 1434
Fakhrul Yaacob
No comments:
Post a Comment