Monday, 5 May 2014

Cukup Setahun PRU-13 (505)


Cukup setahun kita telah melalui Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Dimana kita berada? Apa yang kita lakukan? Apa yang kita dapat? Apa yang mereka buat? Itu antara persoalan yang sempat saya ajukan kepada semua rakyat Malaysia. Sebagai rakyat kita usah bermimpi disiang hari atau pun menyokong membuta tuli. Pasaklah dengan prinsip idealisma kendiri.

Buruk atau baik keputusan yang lalu perlu kita hadam sampai jadi sisa. Apa yang perlu, kita harus bertindak dengan meneruskan baki perjuangan yang semakin pudar dek kerana isu yang pelbagai. Hak sebagai individu, hak sebagai rakyat, hak sebagai penduduk dan hak sebagai pengundi juga wajib kita tuntutkan kepada ‘mereka’. Semak sini bagi Ahli Dewan Negara: http://www.parlimen.gov.my/ahli-dewan.html?uweb=dr

Bukan menyuruh tapi memaksa untuk bertindak begitu. Apa tidaknya, dari pemerhatian saya kebanyakkan daripada kita hanya menurut perintah atau menyokong secara membabi buta dan tidak sedar jika salah itu salah. Pendek kata baik atau buruk pemimpin itu semua betul tanpa mengadili dengan menggunakan akal dan hak yang rasional.

Tulisan saya ini bersifat umum kerana saya sentiasa pegang pada prinsip ‘yang betul itu betul, yang salah tetap salah’. Bukan memihak pada mana-mana parti tetapi hak kita sebagai rakyat perlu mempunyai prinsip perjuangan yang teguh dan benar. Jangan kerana kita menyokong itu, yang salahnya pun kita kata betul.

Pada era ini kita tidak boleh lagi membenarkan minda kita terperangkap dalam semak yang dusta. Sebagai penyokong kita perlu menegur pemimpin supaya semua kita berada pada landasan yang betul. Tidaklah pemimpin itu seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan’.

Setahun berlalu apa yang dijanjikan pemimpin adakah ditunaikan? Apa pula parti-parti yang bersungguh-sungguh ‘memperjuangkan hak rakyat’ dilaksanakan? Rumah mampu milik? Infrastruktur baru? Kemudahan dipertingkatakan? Semua ini perlu kita tanya pada diri sendiri supaya tahun depan kita boleh selesaikan tuntutan pada mereka? Atau pun beri sedikit peluang untuk tahun berikutnya.

Jangan kita digula-gulakan atau dihambakan hanya untuk memenangkan asal belanja teh tarik secawan. Bukan tulisan ini mengajar untuk membenci tetapi tulisan ini mengajak semua rakyat untuk bertegas akan apa yang telah kita usahakan melalui undian. Sudahlah kita bermimpi dengan janji-janji yang kerap ditundakan hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Mungkin juga jika tiada yang bertegas akan manifesto bercandu harum itu, politikus ini akan turut menunda janji manisnya ke PRU-14.

Bangunlah. Jangan diulit mimpi boneka !

Sekian.

Fakhrul Yaacob
Wang Kelian
05 Mei 2014

Saturday, 3 May 2014

Merah 501 Bagaimana?



Perjuangan bukan mudah, perjuangan perlu berterusan. Kini isu yang paling membisakan rakyat adalah cukai kerajaan iaitu Good Service Tax (GST).  Rakyat biasa yang dihimpit oleh keadaan ekonomi yang tidak stabil tambahan harga rumah dan barang meningkat menambahkan lagi cemuhan rakyat terhadap tindakan kerajaan. Merdeka Center telah mengumumkan 62 peratus rakyat Malaysia menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kini giat dikempen kerajaan. Rujuk: http://www.malaysiakini.com/news/261697


Memang himpunan 501 tidak dapat mansuhkan GST hatta gulingkan kerajaan. Tapi dengan jumlah peserta memcecah 50 ribu rakyat membanjiri Dataran Merdeka dan mengadakan protes yang aman, ia memberi mesej yang jelas bahawa rakyat kebanyakan tidak setuju dgn GST. Himpunan sebegini mampu memberi impak supaya kerajaan membatalkan cukai GST.  Namun cara ini perlu dibantu oleh cara lain.  

Momentum begini harus diteruskan. Tekanan demi tekanan. Dan akhirnya rakyat keseluruhan pasti bersama PR dan menolak BN. Demonstrasi 501 ini mula menunjukkan suatu dimensi baru yang mengajak rakyat untuk memberi tekanan kepada kerajaan melalui perhimpuanan aman yang membawa mesej yang jelas. Perhimpunan yang aman tanpa ada pihak yang mencetuskan provokasi menunjukkan bahawa rakyat mula memprotes sesuatu isu dengan matang.


Begitu pun dalam perhimpunan ini ada segelintir puak anarki yang mencetuskan perkelahian kecil sesama sendiri apabila melanggar syarat peraturan berhimpun. Namun itu perlu diambil ikhtibar dan pengajaran supaya rakyat terus bersama Pakatan Rakyat dan NGO lain untuk menolak dan menjatuhkan regim BN. Rakyat perlu belajar mengawal emosi dan bertindak secara bijaksana. Kita memerlukan rakyat yang mengamalkan dimensi politik baharu dan demontrasi yang lebih aman kerana cara sebegini didengari oleh kerajaan pimpinan Najib Razak. Suara rakyat, kekuatan rakyat!

Sekian.

Fakhrul Yaacob
Dataran Merdeka
1 Mei 2014