Tuesday, 9 July 2013

Ramadhan Menjelang, Harapan Masih Ada


Sedar tak sedar bulan Syaaban sudah pun melabuhkan tirainya tadi setelah azan maghrib dilaungkan. Ini bermakna bulan yang ditunggu – tunggu oleh semua muslimin dan muslimat iaitu bulan Ramadhan membuka tirainya. Kini, 1 Ramadhan 1434 hijriah membuka pintu untuk semua yang beragama Islam mengerjakan ibadah puasa selama sebulan.

Kita sebagai manusia yang selalu melakukan khilaf (kesilapan) di hari – hari pasti akan memohon taubat dan keampunan dari Allah s.w.t. Jadi bulan Ramadhan lah bulan yang paling sesuai bagi memohon keampunan atas dosa – dosa yang lalu tetapi bukan bermakna kita bebas melalukan dosa pada bulan – bulan yang lain dan bukan juga bulan – bulan lain tidak boleh memohon keampunan dari Allah.

Kenapa bulan Ramadhan? Atau apa yanga ada di bulan Ramadhan? 1. Bulan yang penuh Barakah( berkat). 2. Bulan ini pintu Jannah dibuka dan pintu neraka ditutup. 3. Bulan ini syaitan –syaitan dibelenggu. 4. Bulan ini ada satu malam yang keutamaan beramal di dalamnya lebih baik daripada beribu bulan di bulan lain, iaitu malam LAILATUL QADR. 5. Setiap hari pada bulan ini ada mailakat yang menyeru, menasihati sesiapa yang berbuat baik agar bergembira dan yang berbuat maksiat agar menahan diri.

Manusia mempunyai penyakit lupa dan perlu diingati sentiasa. Jadi, bulan Ramadhan adalah sekolah yang baik untuk mengajar umat Islam supaya kembali ke landasan yang betul untuk terus hidup di muka bumi sebelum tiba hari kiamat. Ramadhan juga merupakan sekolah di mana mendidik, membentuk dan membudayakan umat Islam supaya taat pada perintah Allah.

Perut manusia sentiasa penuh dengan makanan apabila tidak berpuasa. Kadang – kadang sampai nak jalan pun tak larat. Manfaat berpuasa juga dapat mengembalikan kesihatan yang terbaik. Mana tidak nya, perokok semestilah tidak boleh merokok dan mengurangkan kekerapan golongan perokok tegar. Badan kita juga merupakan kilang memproses atau menghadamkan makanan, apabila kita berpuasa kilang itu dapat berehat dan mengambalikan kesegaran tubuh.

Pada bulan Ramadhan terdapat juga amalan sunat yang tiada pada bulan – bulan lain iaitu solat sunat Taraweh. Ganjaran yang dikurniakan Allah apabila melakukan amalan sunat ini berlipat ganda. Suasana di Malaysia apabila datang bulan puasa, waktu kerja akan disingkatkan dari waktu – waktu biasa tapi ini juga tertakluk kepada syarikat swasta yang memberi perlepasan awal sempena bulan puasa. Contohnya asal balik pukul 5.30 petang akan diawalkan ke 4.30 petang. Dalam pada itu ia dapat mengeratkan silaturrahim antara ummah yang renggang dek sibuk dengan kerja siang dan malam apabila berpeluang sama – sama bertaraweh.

Bila sebut pasal taraweh, penulis ingin mengingatkan kepada diri penulis sendiri dan rakan – rakan supaya tidak hanya ‘hangat – hangat tahi ayam’ bila solat taraweh. Pada pandangan penulis, ramai sangat makmum yang hadir solat taraweh pada minggu pertama dan kedua bulan Ramdhan. Sampaikan surau masjid dan pakir kereta tak muat. Jadilah seorang umat yang konsisten iaitu berterusan dan melakukan ibadah, termasuk juga ibadah lain yang baik.

Kita digalakkan banyak melakukan amalan – amalan sampingan lain seperti sedekah, berdoa, tadarus quran, memohon taubat dan juga amalan sunat yang lain kerana ganjarannya berlipat kali ganda. Selain itu kita juga digalakkan bangun bertahajud dan berdoa pada malam – malam ganjil seperti yang diberitahu para ulamak kerana bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam Lailatul Qadr.

Pada hemat penulis., kebanyakkan ibu bapa sekarang lebih mementingkan puasa sehinggakan diberi ganjaran kiranya dapat puasa penuh. Persepsi ini perlu diubah kerana amalan solat wajib 5 waktu lebih penting lagi wajib. Jika solat anak itu dijaga semestinya puasa dijaga tetapi jika puasa anak itu dijaga tidak semestinya solatnya dijaga. Kata seorang ulamak, ‘mantapkan yang wajib, kukuhkan yang sunat’.

Buanglah tabiat membazir dan berbelanja mengikut hawa nafsu. Bawalah duit sedikit ketika kunjung ke bazaar ramadhan mengikut keperluan sahaja kerana sudah menjadi budaya kita untuk berbelanja di bazaar sebelum berbuka. Maklumlah pelbagai makanan yang dijual dan pastinya terliur setelah sehari berpuasa kononnya. Kita juga perlu ingat akan rakyat yang dilanda konflik seperti negara Mesir, Syiria, Palestin dan negara umat Islam yang lain.

Seperti lagu Harapan Ramadhan kolaborasi kumpulan Raihan dengan Man Bai mengingatkan kita bahawa harapan masih ada untuk kita menceduk, mengumpul dan membolot segala amalan baik pada bulan ini. Bunuhlah masa kita sebulan ini dengan segala yang bermanfaat bergantung pada status dan keadaan kita tak kiralah kita ni pelajar, pekerja, suri rumah dan penggangur. Carilah makna Islam pada bulan Ramadhan ini supaya kita dapat melangkah hari – hari selepas Ramadhan dengan berkat bulan ini.

Selamat beribadah semua.
1 Ramadhan 1434

Fakhrul Yaacob